KOTA KINABALU: Politik mempunyai batas dan agama tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka atau permainan demi mendapatkan gelak ketawa serta tepukan orang ramai, tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, khususnya bahagian yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab).
Arthur berkata, ucapan berkenaan amat tidak wajar dan keterlaluan serta tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.
“Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan orang ramai.
“Politik ada batas, kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan agama bukan bahan permainan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Arthur, Malaysia dibina atas asas masyarakat berbilang kaum dan agama, justeru amat mengecewakan sekiranya masih ada pemimpin yang memilih menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik.
Beliau turut mengingatkan semua pemimpin politik bahawa isu 3R membabitkan kaum, agama dan institusi diraja bukan perkara yang boleh disentuh sesuka hati.
Katanya, Perlembagaan dan undang-undang negara perlu dihormati bagi memastikan ketenteraman awam, keharmonian serta hubungan antara masyarakat terus terpelihara.
Arthur berkata, BN berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama dan prinsip berkenaan perlu dipegang secara konsisten.
“Kita tidak boleh bercakap mengenai perpaduan pada satu ketika, tetapi pada ketika yang lain membiarkan agama orang lain dijadikan bahan jenaka politik.
“Prinsip ini mesti kita pegang secara konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan kita,” katanya.
Menurutnya, pemimpin politik boleh berbeza pandangan, mengkritik dasar serta berdebat dengan tegas, namun agama dan kepercayaan orang lain tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan.
Beliau berkata, alasan bahawa sesuatu kenyataan sekadar gurauan juga tidak seharusnya digunakan untuk mengetepikan kesan dan sensitiviti yang ditimbulkan.
Sehubungan itu, Arthur mendesak Noorazli supaya memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang alasan atau berselindung, khususnya kepada rakyat Malaysia beragama Kristian yang tersinggung dengan ucapan berkenaan.
“Saya menyeru semua pemimpin politik, tanpa mengira ideologi parti, supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja.
“Rakyat tidak memerlukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukan masyarakat,” katanya.






