Muka Sauk Kabang 94 Peratus Siap, Kapasiti Naik Kepada 30 Juta Liter...

Muka Sauk Kabang 94 Peratus Siap, Kapasiti Naik Kepada 30 Juta Liter Sehari – Armizan

0
SHARE

PAPAR: Projek Menaik Taraf Muka Sauk Kabang kini mencapai 94 peratus kemajuan fizikal, dengan Pelan Pecutan selama 21 hari sedang dilaksanakan bagi menyiapkan baki kerja kritikal sebelum sistem baharu dapat beroperasi sepenuhnya.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek itu penting bagi meningkatkan kapasiti Muka Sauk Kabang daripada sembilan juta liter kepada 30 juta liter sehari, sekali gus menyediakan sumber air mentah alternatif kepada Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau dan Loji EWSS.

Menurutnya, sumber alternatif itu diperlukan khususnya apabila sumber air dari Muka Sauk Limbahau terjejas akibat kemasinan, kekeruhan atau kandungan ammonia yang melebihi tahap selamat untuk dirawat.

Apabila sumber air di Muka Sauk Limbahau terjejas akibat kadar kemasinan, kekeruhan atau kandungan ammonia melebihi tahap selamat, air mentah dari Muka Sauk Kabang boleh digunakan bagi membantu memastikan kedua-dua loji terus beroperasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Armizan berkata demikian selepas bersama wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Parlimen Papar meninjau perkembangan projek berkenaan bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata, projek yang bermula pada 10 Mac 2025 itu berdepan beberapa cabaran termasuk faktor cuaca, paras sungai dan keadaan sumber air mentah.

Menurutnya, kerja di tapak pernah terhenti selama 46 hari akibat masalah saliniti selain berdepan 71 hari hujan, manakala Muka Sauk Kabang sedia ada dalam keadaan tertentu perlu terus digunakan bagi memastikan bekalan air mentah ke kedua-dua loji tidak terputus.

Katanya, meskipun hanya berbaki kira-kira enam peratus, kerja yang belum diselesaikan melibatkan beberapa komponen penting sebelum kapasiti baharu boleh digunakan.

Pelan Pecutan selama 21 hari itu merangkumi kerja mengosongkan kolam, pembinaan dinding struktur muka sauk dan tapak pam, pemasangan pam, penyambungan paip serta pengujian dan pentauliahan sistem.

Armizan berkata, Muka Sauk Kabang sedia ada tidak dapat digunakan selama 16 hari bagi membolehkan kerja kritikal dilaksanakan, sebelum operasi paip turut dihentikan sementara pada hari ke-17 hingga ke-19 untuk kerja penyambungan ke LRA Limbahau.

Dua hari terakhir pula akan digunakan bagi proses pengujian dan pentauliahan sebelum sistem baharu mula beroperasi.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan penutupan sementara Muka Sauk Kabang tidak bermakna gangguan bekalan air akan berlaku sepanjang tempoh berkenaan kerana LRA Limbahau dan EWSS masih boleh menggunakan sumber air mentah dari Muka Sauk Limbahau selagi kualitinya sesuai untuk dirawat.

“Namun, sekiranya kandungan klorida meningkat sehingga air mentah tidak lagi sesuai untuk dirawat, pengeluaran air mungkin berkurangan dan berisiko menyebabkan tekanan rendah atau gangguan bekalan sementara di beberapa kawasan,” katanya.

Armizan berkata, persediaan turut dibuat bagi menghadapi kemungkinan gangguan sepanjang tempoh berkenaan, termasuk menyelaras penghantaran air menggunakan lori tangki dan pengisian tangki statik di kawasan terjejas.

Beliau berkata, kesan gangguan bekalan air kepada masyarakat tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan urusan keluarga, persekolahan, perniagaan, kesihatan serta rutin harian penduduk.

“Pelan Pecutan ini perlu diselesaikan supaya kita tidak terus berdepan keadaan yang sama pada masa hadapan. Keutamaan kita adalah memastikan baki kerja disiapkan mengikut jadual, pada masa yang sama meminimumkan kesannya kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Armizan, apabila siap kelak, Muka Sauk Kabang akan menjadi antara komponen penting dalam mewujudkan sistem bekalan air yang lebih stabil dan berdaya tahan bagi daerah Papar.