
LAHAD DATU, SABAH – Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah dimeriahkan kira-kira 2,000 warga Lahad Datu.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dun N61 Segama Datuk Mizma Appehdullah berkata masyarakat Lahad Datu lebih bersemangat merayakan bulan kebangsaan kali ini dengan kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Sabah yang meriah.
“Sambutan pada tahun ini, kami melihat satu suasana yang sangat bersemangat gemilang di mana kita dapat melihat setiap premis kedai dan rumah telah mengibarkan jalur gemilang.
“Sambutan tahun ini sangat bermakna buat negeri Sabah kerana telah dinobatkan juga sebagai Hari Sabah bersempena 31 ogos tahun ini,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pelancaran konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 peringkat Lahad Datu yang melibatkan semua agensi kerajaan negeri persekutuan.
“Pada tahun ini, Lahad Datu sangat bertuah kerana pengelola bersama kolaborasi yang mengendalikan konvoi merdeka di bawah kelolaan East Sabah Security Command (ESSCOM).
“Kami sangat berbangga kerana ini adalah sinonim dengan kemerdekaan kita di Malaysia ini tanpa adanya anggota keselamatan, keamanan kita di negara ini tidak akan terjamin.
“Kami bagi pihak masyarakat Lahad Datu sangat berbangga dan sangat berterima kasih di atas komitmen yang telah diberikan”, katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pelancaran Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Negeri Sabah Dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Daerah Lahad Datu.
Turut hadir dalam majlis tersebut Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali serta Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor juga selaku ketua konvoi KMJG 2024. — JABATAN PENERANGAN SABAH