KUALA LUMPUR – Kekuatan tarikan pelancongan ke Negeri Sabah bukan hanya pada kekayaan alam semula jadi tetapi juga masyarakat majmuk dan unik.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, berkata sifat mesra orang Sabah yang dipraktik pelbagai kaum menjadi daya tarikan kepada para pelancong.
“Kita mempunyai 40 jenis etnik dan lebih 200 kumpulan sub-etnik dengan dialek, budaya, dan adat resamnya sendiri…
“Mereka hidup bersama-sama dalam suasana harmoni dan tentu sekali ia menjadi tarikan,” katanya.
Joniston, yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata demikian dalam wawancara bersama RTM Selamat Pagi Malaysia mengenai pelancongan luar bandar berasaskan komuniti hari ini.
Beliau berkata kesatuan dan keramahan penduduk Negeri Sabah juga terserlah di kawasan luar bandar, di mana komuniti bekerjasama memajukan kampung masing-masing dengan mengusahakan aktiviti pelancongan.
Tambahnya, pelancongan berasaskan komuniti itu terbukti mampu menjana sumber pendapatan baru kepada penduduk kampung.
“Konsep pelancongan ini juga dapat meningkatkan kesatuan dan kerjasama penduduk setempat kerana mereka mahu berjaya dalam usaha pelancongan…
“Ia juga telah membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia, dan yang penting, meningkatkan kesedaran dalam pemuliharaan alam sekitar.
“Ini membolehkan pelancong datang untuk melihat sendiri bagaimana penduduk kampung menjaga kawasan mereka.
“Di Sabah, kita sudah terkenal dengan gunung dan lautan yang cantik. Tetapi permata pelancongan juga ada di luar bandar dan selain itu, masyarakat majmuk juga menjadi tarikan,” katanya.
Joniston menegaskan Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa aktif mengenalpasti produk pelancongan luar bandar dan membantu penduduk kampung agar sentiasa bersedia menerima pengunjung dan memberi perkhidmatan terbaik sejak sekian lama terjejas akibat pandemik.





