KOTA KINABALU, SABAH – Kluster Lautan Biru yang melibatkan anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyumbang kepada kenaikan 48 kes COVID-19 Sabah baharu hari ini.
Jurucakap Perkembangan Harian COVD-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata setakat ini 93 orang disahkan positif dalam kluster tersebut.
“Jangkitan berlaku semasa operasi dan melibatkan petugas keselamatan daripada Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” katanya sambil menambah jumlah kumulatif Sabah adaah 485 kes.
Katanya pertambahan ini juga berpunca daripada kenaikan mendadak jumlah kes di Kota Kinabalu daripada 98 kes kelmarin kepada 161 kes (+63) hari ini.
“Mengikut statistik, cuma tiga (3) daripada 161 kes didaftar di Kota Kinabalu sepanjang 24 jam yang lalu, selebihnya merupakan kes daftar lewat antara 2 hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui,” jelasnya.
Beberapa daerah lain turut mencatatkan pertambahan kes harian yang ketara seperti Tuaran dan Kota Marudu, tetapi daerah-daerah seperti Penampang, Papar dan Tenom mencatat jumlah kes harian yang jauh lebih rendah pada hari ini.
“Kes-kes daripada Kluster Lautan Biru (91) dan Kluster Kemburongoh (1) menyumbang hampir 19 peratus (19%) daripada jumlah kes di Sabah hari ini…
“Juga diperhatikan peratusan kes saringan kontak rapat dan kes saringan bergejala hampir sama tinggi iaitu 39 peratus (39%) bagi saringan kontak dan 36 peratus (36%) bagi saringan bergejala.
“Ini satu petanda jelas virus COVID-19 sudah berada secara meluas di tengah masyarakat dan risiko jangkitan secara sporadik semakin tinggi,” tegasnya.
Dalam pada itu, Masidi berkata 97 peratus atau 469 pesakit hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2.
“Seramai lima (5) orang dalam Kategori 3, dua (2) orang dalam Kategori 4 dan tiga (3) pesakit dalam Kategori 5. Kes melibatkan 6 pesakit masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” tambahnya.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (22 Nov) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Kinabalu – 161 (98)
Tuaran – 62 (22)
Ranau – 33 (26)
Kota Marudu – 27 (13)
Penampang – 26 (39)
Kota Belud – 23 (38)
Papar – 18 (32)
Putatan – 18 (19)
Keningau – 17 (14)
Beaufort – 16 (19)
Tawau – 12 (5)
Kuala Penyu – 11 (9)
Tenom – 11 (24)
Kudat – 9 (10)
Sandakan – 7 (13)
Lahad Datu – 6 (9)
Sipitang – 5 (4)
Tongod – 5 (2)
Beluran – 4 (2)
Kunak – 4 (2)
Tambunan – 3 (5)
Telupid – 3 (13)
Semporna – 2 (0)
Kinabatangan – 1 (17)
Nabawan – 1 (0)
Pitas – 0 (1)
Kalabakan – 0 (1)





