KOTA KINABALU: Sabah merekodkan kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak RM1.38 bilion daripada sektor utama seperti minyak sawit mentah dan produk petroleum bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ben Chong (GRS-Tanjung Kapor) berkata jumlah kutipan SST daripada sektor utama setakat 30 Jun 2026 adalah sebanyak RM1.387 bilion.
Beliau menjawab soalan Datuk Donald Peter Mojuntin (GRS-Moyog) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, Selasa.
“Minyak sawit mentah termasuk produk biojisim sawit menyumbang kutipan terbesar iaitu RM703.55 juta, diikuti produk petroleum sebanyak RM679.45 juta,” katanya.
Beliau berkata sektor komoditi perikanan yang melibatkan produk dieksport keluar Sabah turut menyumbang kepada kutipan SST, manakala sektor perhutanan ketika ini tidak dikenakan cukai berkenaan.
Sementara itu, kerajaan Sabah membelanjakan lebih RM108 juta bagi pelaksanaan program pembangunan belia sejak 2020.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Seri Anil Jeet Singh (BN-Kunak) berkata sebanyak RM108.05 juta telah diperuntukkan dan dibelanjakan bagi pelbagai inisiatif pembangunan belia sehingga kini.
Beliau berkata keberkesanan program dinilai berdasarkan beberapa petunjuk termasuk peningkatan jualan dan pendapatan penerima bantuan, manfaat kepada kumpulan sasaran serta komuniti setempat, peluang pekerjaan yang diwujudkan dan impak sosial ekonomi.
Beliau menjawab soalan Justin Wong Yung Bin (Warisan-Sri Tanjong) mengenai penilaian impak program pembangunan belia negeri.






