Bapa Dihukum 270 Tahun Penjara, 180 Sebatan Kes Rogol Anak Kandung di...

Bapa Dihukum 270 Tahun Penjara, 180 Sebatan Kes Rogol Anak Kandung di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang guru tuisyen berusia 53 tahun dijatuhi hukuman penjara 105 tahun dan 70 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan merogol anak kandungnya.

Hukuman baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan hukuman kumulatif yang dihadapi tertuduh kini mencecah penjara 270 tahun dan 180 sebatan.

Sebelum ini, beliau dijatuhi hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu atas 11 pertuduhan merogol dua anak perempuannya.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya memerintahkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dijalankan secara berturut-turut, selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling dalam penjara dan pengawasan polis selama tiga tahun selepas dibebaskan.

Walau bagaimanapun, jumlah sebatan dihadkan kepada maksimum 24 sebatan mengikut Seksyen 288(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, tertuduh merogol anak sulungnya yang berusia 25 tahun di beberapa hotel di Tawau antara Disember 2025 hingga Mac 2026.

Siasatan mendapati perbuatan sumbang mahram itu berlanjutan sejak mangsa berusia 15 tahun secara terancang, di mana tertuduh mengugut mangsa dan memaksanya merentasi daerah dari Lahad Datu semata-mata untuk melakukan perbuatan tersebut.