Tiga cedera Myvi bertembung Hilux di Kolombong

Tiga cedera Myvi bertembung Hilux di Kolombong

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tiga lelaki cedera selepas Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Lorong Iramanis Centre, Kolombong, Inanam, awal pagi Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.39 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota BBP Lintas bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi sebelum tiba kira-kira tiga minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan Toyota Hilux yang bertembung.

Tiga lelaki yang berada di dalam Perodua Myvi mengalami kecederaan dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu Myvi berusia 23 tahun mengalami kecederaan di muka, manakala dua penumpangnya masing-masing berusia 35 dan 38 tahun mengalami kecederaan di kepala dan tangan.

“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki dewasa, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Noor Sherriyana berkata, operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan pada jam 4.20 pagi selepas pasukan memastikan keadaan di lokasi selamat.