KOTA KINABALU: Seorang bekas wartawan, iaitu mendiang Kriscy Limjoon, 43, mendermakan sepasang mata atau kornea selepas pihak keluarganya memaklumkan hasrat mereka untuk menderma organ bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna, berkata hasil penilaian mendapati hanya mata yang masih sesuai untuk didermakan dan pihak keluarga bersetuju meneruskan hasrat murni itu.
“Sepasang kornea yang didermakan juga telah berjaya ditransplan dan membantu memulihkan penglihatan dua pesakit yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Prosedur pendermaan organ dan transplan kepada pesakit yang menerima organ mendiang dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, baru-baru ini.
Mendiang Kriscy, berasal dari Kampung Domis Hungab, Penampang yang juga ibu kepada dua orang anak pernah bertugas sebagai wartawan akhbar tempatan dan menjadi guru bahasa Inggeris sebuah sekolah swasta di Sabah.
Dr Asits berkata, pihak keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang berhati murni, periang tetapi tegas dalam menjalankan tugas, selain suka membantu orang dan sentiasa memberi sokongan kepada peniaga tempatan.
Katanya, walaupun tidak berkesempatan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, mendiang pernah berbincang dengan keluarganya mengenai hasrat untuk menderma organ.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas pendermaan ini. Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.
“Jabatan juga ingin menggalakkan orang ramai supaya berbincang dengan keluarga tersayang mengenai topik pendermaan organ supaya mudah untuk mereka memberikan keputusan pendermaan setelah pemergian kita,” katanya.






