KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 projek mega di Sabah membabitkan pembinaan jalan luar bandar, hospital dan sekolah didakwa terpaksa dibatalkan susulan peruntukan berkaitan tidak disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Memetik laporan Berita Harian, Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan @ Norjan berkata, keadaan itu memberi kesan kepada rakyat Sabah, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.
“Dukacita dimaklumkan, saya difahamkan 14 projek mega di Sabah terutamanya pembinaan jalan luar bandar, hospital dan sekolah di bawah KKDW terpaksa dibatalkan kerana peruntukan tidak disalurkan kepada KKDW.
“Kita faham perasaan presiden kita (Presiden UMNO merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Bagaimana kementerian boleh berbelanja melebihi peruntukan seperti yang dinyatakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, betul tak?
“Bayangkan siapa yang rugi? Rakyat Sabah,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menggesa kerajaan menyegerakan penyaluran peruntukan yang diluluskan kepada KKDW bagi menangani masalah kelewatan pembayaran yang serius dihadapi kontraktor.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mengkritik jajaran semula dana kerajaan serta pelaksanaan inisiatif di luar bajet yang menurutnya mengganggu program terancang, selain memberi kesan kepada kontraktor.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menafikan dana KKDW ditahan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan kelewatan pembayaran berlaku kerana kementerian itu hampir menghabiskan peruntukan tahunannya.
Setakat Jun lalu, KKDW dilaporkan membelanjakan RM1.9 bilion daripada RM2.1 bilion peruntukan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar tahun ini.
Menurut Johan, peruntukan tambahan RM300 juta juga sudah diluluskan bagi membantu menyelesaikan tunggakan pembayaran.
Setiausaha Akhbar kepada Ahmad Zahid, Fadzmel Fadzil kemudian menafikan KKDW membuat komitmen kewangan secara sepihak atau berbelanja sesuka hati.
Mengulas isu komitmen berlebihan yang direkodkan Kementerian Kewangan (MoF), beliau berkata ia bukan perbelanjaan baharu, sebaliknya membabitkan pembayaran tertangguh yang dibawa dari 2019 hingga 2021.
Dalam perbahasannya, Azuwan turut mendesak supaya semua peruntukan yang masih tertunggak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan segera.
Beliau berharap perkara itu diberi keutamaan sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali memimpin Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Semalam ‘guru’ datang ke Sabah dan mengadakan perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.
“Namun saya faham tiada kata putus atau penyelesaian konkrit dicapai daripada perbincangan itu. Insya-Allah, jika ditakdirkan UMNO dan BN memimpin kerajaan di Putrajaya, insya-Allah kita mesti selesaikan MA63,” katanya.
Azuwan berkata, Ahmad Zahid secara konsisten berikrar untuk melaksanakan peruntukan tertunggak di bawah MA63 sekiranya BN kembali memerintah, termasuk ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.
“Jika hari ini kita menang, kita akan desak supaya MA63 diselesaikan pada tahun itu juga,” katanya.
Azuwan turut mendesak kerajaan memansuhkan sistem subsidi diesel bersasar di bawah Budi Madani kerana kuota 400 liter sebulan disifatkannya tidak mencukupi untuk penduduk Sabah.
Menurutnya, jarak perjalanan antara daerah di Sabah yang jauh menyebabkan penggunaan diesel lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
Beliau turut mempertikaikan syarat pemilikan kenderaan diesel untuk melayakkan seseorang menerima kuota berkenaan kerana menurutnya ia memberi kesan kepada petani, nelayan, usahawan luar bandar, pekebun kecil, peniaga kecil dan kontraktor.
Mengambil contoh sektor pertanian, Azuwan berkata kos mengusahakan satu ekar sawah padi bagi satu musim meningkat daripada kira-kira RM500 hingga RM600 sebelum kenaikan harga diesel kepada antara RM1,100 hingga RM1,200 ketika ini.
“Ia meningkat hampir dua kali ganda. Bagaimana petani mahu meneruskan kelangsungan hidup?
“Ada petani yang tidak lagi mampu mengusahakan sawah mereka kerana merasakan titik peluh selama empat bulan tidak berbaloi,” katanya.






