Pelepasan Peter Anthony Ikut Proses, Tiada Layanan Berbeza – Jabatan Penjara

Pelepasan Peter Anthony Ikut Proses, Tiada Layanan Berbeza – Jabatan Penjara

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pelepasan bekas Menteri Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dibuat selepas beliau memenuhi tempoh kelayakan ditetapkan serta melalui proses tapisan dan penilaian seperti prospek lain yang dipertimbangkan mengikuti program berkenaan.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pelepasan menerusi PBSL tidak bermaksud baki hukuman yang dijatuhkan mahkamah diketepikan, sebaliknya Peter masih menjalani tempoh hukuman dalam komuniti serta tertakluk kepada syarat, peraturan dan pemantauan ditetapkan.

Menurut jabatan itu, PBSL merupakan antara mekanisme Pemulihan Dalam Komuniti yang dilaksanakan secara berstruktur kepada prospek yang memenuhi syarat dan kriteria kelayakan.

“Bagi dipertimbangkan mengikuti PBSL, seseorang prospek perlu terlebih dahulu menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tempoh hukuman namun pemenuhan tempoh itu tidak memberikan kelayakan secara automatik,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara berkata, antara aspek yang dinilai ialah sahsiah dan tingkah laku sepanjang menjalani hukuman, tahap kepulihan, penyertaan dalam Program Pembangunan Insan, kesediaan kembali ke komuniti, sokongan keluarga, kesesuaian penempatan, peluang pekerjaan serta keperluan pemantauan selepas pelepasan.

Penilaian dan pertimbangan di peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia pula dibuat menerusi Jawatankuasa PBSL yang dipengerusikan Komisioner Jeneral Penjara serta dianggotai pegawai kanan dan wakil agensi berkaitan.

Menurut jabatan itu, mekanisme berkenaan bagi memastikan setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan dan hasil penilaian terhadap prospek selaras dengan proses ditetapkan.

Jabatan Penjara turut menegaskan PBSL dilaksanakan kepada prospek yang layak tanpa mengira latar belakang, kedudukan, status atau pengaruh seseorang.

“Sehubungan dengan itu, dakwaan pelepasan melalui PBSL diberikan atas layanan berbeza atau dwistandard adalah tidak tepat. Setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan, penilaian dan proses yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu menjelaskan pelaksanaan PBSL berteraskan prinsip Pemulihan Dalam Komuniti yang mengimbangi aspek keselamatan awam, pemulihan individu, pengawasan serta persediaan untuk kembali ke dalam keluarga dan masyarakat.

Prospek yang diberikan PBSL kekal tertakluk kepada pengawasan sehingga selesai menjalani baki tempoh hukuman.

Pada 25 Mac lalu, Peter yang sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang, Selangor atas sabitan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dilaporkan dibebaskan menerusi PBSL kira-kira dua minggu sebelumnya dan berada di Sabah.