KOTA KINABALU: Seramai 7,490 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada pelbagai warganegara telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing dari Sabah setakat 29 Oktober 2026, dengan warga Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 5,357 orang.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu turut melibatkan 1,789 warga Indonesia, 141 warga China, 139 warga Pakistan, 29 warga Vietnam serta 35 individu daripada negara lain.
Menurut kenyataan itu, operasi penghantaran pulang terbaharu pada Khamis melibatkan 800 PATI warga Filipina dari Depot Imigresen Tawau, Sandakan dan Papar melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan kapal MV Antonia 1.
“Kesemua tahanan terdiri daripada 590 lelaki dewasa, 88 perempuan dewasa, 64 kanak-kanak lelaki dan 58 kanak-kanak perempuan berusia antara 16 hari hingga 83 tahun.
“Kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Sebelum itu, seramai 269 tahanan warga Filipina turut dihantar pulang pada 27 Oktober melalui Pelabuhan ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial.
Kedua-dua operasi berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan warga Filipina yang dihantar pulang dalam tempoh tiga hari sebanyak 1,069 orang.
Pada 29 Oktober, empat lagi tahanan lelaki dewasa terdiri daripada seorang warga Nepal, seorang warga India dan dua warga Pakistan turut dipindahkan melalui Lapangan Terbang Sandakan ke KLIA 2 sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal.
JIM Sabah menjelaskan, semua tahanan yang dihantar pulang telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah.
Dalam pada itu, jabatan berkenaan menggesa majikan menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bagi merekod dan mengurus keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.
Inisiatif itu dijangka membantu menangani isu dokumentasi serta lambakan PATI di negeri ini.
JIM Sabah turut menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa permit dan dokumen sah.
Majikan yang melakukan kesalahan berkaitan boleh berdepan hukuman berat mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda, penjara dan sebatan tertakluk kepada peruntukan kesalahan berkenaan.






