Bukan Menuding Jari, Nilai Usaha Kerajaan Berdasarkan Hasil dan Kemajuan– Azrul

Bukan Menuding Jari, Nilai Usaha Kerajaan Berdasarkan Hasil dan Kemajuan– Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penjelasan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai sejarah masalah asas di Sabah bukan bertujuan menyalahkan kerajaan terdahulu, sebaliknya penting untuk memahami bagaimana sesuatu isu wujud, mengapa ia berlarutan dan pendekatan yang diperlukan untuk menyelesaikannya.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, usaha Kerajaan Negeri menangani isu asas rakyat khususnya bekalan air, elektrik dan jalan raya perlu dinilai berdasarkan hasil serta kemajuan yang boleh diukur.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan pembangkang bahawa Hajiji menyalahkan kerajaan terdahulu berhubung masalah asas rakyat di Sabah.

“Apabila kerajaan khususnya Ketua Menteri menjelaskan sejarah sesuatu isu, ia bukan bermaksud menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Sebaliknya, fakta dan rekod masa lalu penting untuk memahami bagaimana sesuatu masalah wujud, mengapa ia berlarutan dan apakah pendekatan yang perlu diambil untuk menyelesaikannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam isu air, Azrul berkata Sabah berdepan cabaran yang telah wujud sejak sekian lama dan penyelesaiannya memerlukan pendekatan menyeluruh serta dilaksanakan secara berperingkat.

Menurutnya, Sabah mempunyai 85 Loji Rawatan Air (LRA) dengan kapasiti air terawat 1,505 juta liter sehari (MLD) pada 2021, berbanding 92 LRA dengan kapasiti 1,670 MLD ketika ini.

Sebanyak 18 projek infrastruktur air juga telah dan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti serta memperkukuh sistem bekalan air di seluruh Sabah.

Antara yang telah disiapkan ialah LRA Semporna, BALB Menumbok dan BALB Apin-Apin, Keningau pada 2021/2022, manakala projek naik taraf bekalan air Kota Marudu serta LRA Kundasang siap pada 2023.

Di Pantai Barat, LRA Telibong 2 mempunyai kapasiti sehingga 160 MLD dengan bekalan diagihkan ke Kota Kinabalu, KKIP dan Tuaran.

LRA Kogopon 2 di Papar pula sedang dilaksanakan dengan tambahan kapasiti 40 MLD, menjadikan kapasiti keseluruhan 80 MLD.

LRA Pitas dan BALB Semporna disasarkan siap pada penghujung 2026, manakala Sistem Bekalan Air Lahad Datu dan Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3 termasuk Empangan Cintamata disasarkan siap pada 2027.

Azrul berkata, perancangan bekalan air turut mengambil kira keperluan memastikan sumber air mencukupi dan mampan dalam jangka panjang.

Setakat ini, terdapat tujuh empangan dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan di beberapa daerah, manakala pelaksanaan Empangan Hidro Ulu Padas dan Empangan Cintamata Tawau dijangka menambah kapasiti serta keselamatan sumber air dalam tempoh menjelang 2027 hingga 2030.

Bagi sektor tenaga, sebanyak 2,155 megawatt (MW) projek penjanaan baharu diluluskan sejak 2024, manakala 317 MW lagi melibatkan lanjutan operasi loji sedia ada.

Menurut Azrul, usaha itu membantu meningkatkan margin rizab penjanaan Sabah daripada sekitar 10 peratus pada 2023 kepada kira-kira 20 peratus ketika ini.

Sabah juga telah mula menggunakan Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 MW/400 MWh khususnya bagi membantu kestabilan grid di Pantai Timur.

Pada masa sama, struktur tenaga negeri sedang dipelbagaikan menerusi pembangunan tenaga boleh baharu termasuk projek hidroelektrik Ulu Padas berkapasiti sekitar 187 MW serta perancangan solar terapung 150 MW.

Dalam isu jalan raya, Azrul berkata Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 setakat Ogos 2026 mencatat kemajuan fizikal 89.01 peratus bagi Fasa 1A dan 23.96 peratus bagi Fasa 1B, dengan empat pakej kerja siap sepenuhnya.

Usaha memperbaiki jaringan jalan pedalaman pula diteruskan melalui program SRT2, SRT3 dan NQR dengan 126.466 kilometer jalan berjaya diturap setakat 2026 menerusi projek baharu yang dilaksanakan bermula 2023 menggunakan dana Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, Azrul mengakui pencapaian itu tidak bermakna semua masalah asas rakyat telah selesai.

“Masih ada kawasan yang mengalami gangguan air. Masih ada gangguan elektrik. Masih ada jalan yang memerlukan penyelenggaraan dan naik taraf. Masih ada projek yang perlu disiapkan.

“Itulah realiti pembangunan,” katanya.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur asas bukan sesuatu yang dapat diselesaikan dalam masa singkat kerana melibatkan proses perancangan, peruntukan, reka bentuk, pengambilan tanah jika berkaitan, perolehan, pembinaan dan pemantauan.

“Sebab itu ukuran yang paling penting bukan sekadar pada apa yang disebut dalam perdebatan politik, tetapi pada kapasiti yang bertambah, projek yang siap, projek yang sedang dibina dan perubahan yang akhirnya dirasai rakyat.

“Maka tumpuan kita seharusnya bukan memperbesar perbezaan, tetapi memastikan segala usaha yang sedang dilaksanakan diteruskan dengan konsisten sehingga memberikan hasil yang lebih besar kepada rakyat.

“Kerana pada akhirnya, rakyat tidak mengukur berdasarkan siapa yang paling banyak bercakap tentang masalah, tetapi berdasarkan apa yang berjaya diselesaikan,” katanya.

Azrul berkata, itulah komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan isu asas rakyat terus diberikan keutamaan.