Anak Kandung Disyaki Bunuh Ibu di Tambunan, Ditahan Polis

Anak Kandung Disyaki Bunuh Ibu di Tambunan, Ditahan Polis

0
SHARE

KENINGAU: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pembunuhan ibu kandungnya yang ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, Tambunan, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2 petang pada 11 September.

Katanya, mangsa merupakan seorang wanita berusia 56 tahun dan hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat senjata tajam.

“Susulan kejadian tersebut, polis mengesan seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan anak kandung mangsa.

Suspek kemudiannya berjaya dikesan dan ditahan oleh penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan sebelum dibawa oleh penduduk kampung ke Balai Polis Tambunan menggunakan kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Erwansyah berkata, sebaik tiba di perkarangan Balai Polis Tambunan, tangkapan rasmi terhadap suspek dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Menurutnya, pasukan penyiasat dan forensik turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai berkaitan dengan kejadian itu.

Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan motif serta kronologi penuh kejadian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan.