JKR Akan Nilai Semula Kerja Gagal Siap Olah Kontraktor LPB Pakej 2

JKR Akan Nilai Semula Kerja Gagal Siap Olah Kontraktor LPB Pakej 2

0
SHARE

BEAUFORT: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menilai semula kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Pakej 2 yang gagal disiapkan mengikut jadual oleh kontraktor terlibat, termasuk mempertimbangkan tindakan lanjut selaras dengan perjanjian kontrak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, penilaian itu melibatkan laluan kritikal Batu 5 hingga Batu 7 dari Kampung Malalia ke Beaufort yang sering mengalami kerosakan teruk dan menerima banyak aduan pengguna jalan raya.

“Kerajaan telah menyalurkan peruntukan serta melantik kontraktor. Jika kontraktor gagal menunaikan tanggungjawab, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya melalui JKR,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak projek bersama JKR, perunding dan kontraktor di laluan berkenaan, di sini, Selasa.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, kontraktor terlibat diarahkan melaksanakan pembaikan sementara di kawasan kritikal bagi mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya sementara menunggu kerja penurapan penuh dilaksanakan.

Menurutnya, projek LPB Pakej 2 sepanjang 34.7 kilometer setakat ini mencapai kemajuan 62.5 peratus, namun masih berdepan kelewatan disebabkan faktor cuaca, pengambilan tanah dan isu teknikal.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan, khususnya pada musim hujan kerana kawasan itu kerap dilanda banjir dan mengalami kerosakan jalan yang serius.

“Saya akan terus memantau pelaksanaan projek ini sehingga laluan tersebut benar-benar selamat digunakan oleh rakyat,” katanya.