James Ratib Usaha Lengkapkan Sekolah Sabah dengan 45,000 Laptop dan Infrastruktur Digital

James Ratib Usaha Lengkapkan Sekolah Sabah dengan 45,000 Laptop dan Infrastruktur Digital

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah sedang berusaha mendapatkan kelulusan bagi kesemua 45,000 permohonan komputer riba yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi kegunaan sekolah-sekolah di seluruh negeri.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, inisiatif itu melibatkan sekolah prasekolah, rendah dan menengah, dengan peranti ditempatkan di sekolah serta diurus secara berpusat melalui kemudahan seperti bilik sumber bagi memastikan penggunaan yang berkesan dan adil.

Beliau berkata, MCMC turut akan membekalkan papan pintar (smart board) sebagai sokongan kepada pelaksanaan pembelajaran digital di bilik darjah.

James berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Bantuan Komputer Riba, Starlink dan Panel Solar bagi Sekolah Rendah dan Menengah di Negeri Sabah, di sini, Rabu.

Menurutnya, Sabah mempunyai kira-kira 1,300 buah sekolah dan sasaran jangka panjang kementerian adalah melengkapkan bilik darjah dengan papan pintar secara berperingkat, di samping memastikan guru diberikan latihan pengajaran digital.

Beliau memaklumkan, MCMC juga akan menyediakan capaian internet satelit Starlink kepada 68 sekolah yang masih belum mempunyai sambungan internet, selain membekalkan sistem tenaga solar kepada sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Kita mahu memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam pembangunan teknologi, termasuk penerapan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

James berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan menyelaras dan merumuskan hasil perbincangan sebelum permohonan rasmi dikemukakan kepada Menteri MCMC untuk pertimbangan dan kelulusan, manakala anggaran kos keseluruhan masih dalam proses pemuktamadan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Dana Pendidikan Negeri Sabah akan terus membantu pelajar yang melanjutkan pengajian ke Semenanjung Malaysia, sementara cadangan diskaun tambang penerbangan bersama syarikat penerbangan sedang dibincangkan oleh agensi berkaitan.