Semua Pihak Digesa Letak Kepentingan Sabah Sebagai Keutamaan Tangani Kesesakan Pelabuhan Sepanggar

Semua Pihak Digesa Letak Kepentingan Sabah Sebagai Keutamaan Tangani Kesesakan Pelabuhan Sepanggar

0
SHARE

SEPANGGAR: Semua pihak digesa agar meletakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan dalam menangani isu kesesakan yang berlarutan di Pelabuhan Sepanggar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, aduan berkaitan kesesakan pelabuhan tidak boleh dilihat secara terasing, sebaliknya merangkumi keseluruhan rantaian perkhidmatan bekalan termasuk operasi di luar kawasan pelabuhan, peranan pelbagai agensi kerajaan serta keperluan pendigitalan sistem berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan perbincangan bersama operator Pelabuhan Sepanggar serta agensi berkaitan di sini, pada Selasa.

“Saya mengadakan kunjungan ke Pelabuhan Sepanggar bagi mendengar sendiri penjelasan daripada operator pelabuhan dan agensi terlibat berhubung isu kesesakan ini,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan memaklumkan bahawa, taklimat telah disampaikan oleh Sabah Ports Sdn Bhd dan DPW Sabah Sdn Bhd selaku operator pelabuhan, selain SEDIA berhubung projek pembangunan Pelabuhan Sepanggar yang sedang dilaksanakan, serta Suria Capital Holdings mengenai perancangan perluasan pelabuhan pada masa hadapan.

Ewon berkata, data yang dibentangkan menunjukkan peningkatan ketara aktiviti import dan eksport kargo di Pelabuhan Sepanggar, yang merupakan petunjuk positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.

“Namun, peningkatan ini turut memberi tekanan kepada kecekapan operasi, justeru isu kesesakan dan keberkesanan perkhidmatan perlu ditangani secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada operasi pelabuhan semata-mata,” katanya.

Beliau memaklumkan akan mempengerusikan beberapa perbincangan susulan sebelum mengangkat kertas cadangan ke Kabinet Negeri bagi mendapatkan keputusan berkaitan langkah penyelesaian interim, sementara menunggu penyelesaian jangka panjang melalui projek perluasan pelabuhan disiapkan.

“Saya menegaskan bahawa semua pihak perlu mengutamakan kepentingan negeri, dengan semangat ‘Sabah First’ dan menjadi sebahagian daripada pasukan penyelesaian. Dengan pendekatan ini, saya yakin isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.