KOTA KINABALU: Seorang peserta Borneo International Marathon kategori 42 kilometer cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang menyertai acara larian itu di Jalan UMS, awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan persendirian dan seorang peserta marathon terbabit.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.30 pagi pada 10 Mei lalu ketika mangsa, seorang lelaki berusia 40 tahun, sedang berlari di laluan kiri jalan raya yang dikhaskan untuk peserta marathon.
“Hasil siasatan awal mendapati sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun telah melanggar mangsa dari arah belakang semasa mangsa berada di laluan KM32 Jalan UMS menghala ke arah Likas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selepas pelanggaran berlaku, kenderaan terbabit dipercayai terus bergerak sebelum terbabas berhampiran Petronas Jalan Tuaran Bypass.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, lutut dan belakang leher sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.
Katanya, pemandu kenderaan turut mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kanan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kon keselamatan dipasang di lorong kiri jalan sebagai pemisah laluan peserta marathon dan laluan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, kenderaan terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM.
Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, Kasim menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mematuhi arahan keselamatan terutama ketika berlangsungnya acara awam yang melibatkan penggunaan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.






