14 pembahas DAP mahu parti kekal dalam Kerajaan Perpaduan

14 pembahas DAP mahu parti kekal dalam Kerajaan Perpaduan

0
SHARE

PUTRAJAYA: Kesemua 14 pembahas dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2026 sebulat suara mahu parti itu terus kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.

Mereka meminta seluruh perwakilan memberi sokongan padu supaya DAP meneruskan kerjasama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wakil perwakilan Kedah, Lim Hooi Yee menegaskan, DAP tidak seharusnya menghukum keseluruhan Kerajaan Perpaduan hanya disebabkan kekalahan satu peratus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Jangan kerana kekalahan itu, kita menghukum seluruh kerajaan Persekutuan dan menggadaikan masa depan rakyat serta negara.

“Kalau kita keluar hari ini, adakah esok semuanya akan menjadi baik? Tidak, (jika) keluar kerajaan, kita mungkin mendapat ruang untuk menjerit dan mengkritik.

“Tetapi kita akan kehilangan ruang yang paling penting, iaitu kerusi di meja keputusan untuk membela nasib rakyat dan membetulkan dasar yang pincang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Ahad.

Persidangan khas berkenaan diadakan bagi membentangkan usul menentukan sama ada DAP kekal atau menarik diri daripada blok pentadbiran sehingga tamat penggal Parlimen semasa.

Proses pengundian yang melibatkan lebih 4,200 perwakilan itu dibawa oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Mengulas lanjut, Hooi Yee menambah, keputusan untuk kekal berada dalam kerajaan bukan bermakna DAP akan bertukar menjadi sebuah parti yang sekadar mengikut telunjuk atau ‘yes man’.

“Kalau dasar tersasar, kita tegur. Dalam soal integriti, kita konsisten tidak kira kawan atau lawan. Jangan biarkan parti kita hanya menjadi jurucakap kerajaan kepada rakyat.

“Tugas kita yang lebih besar adalah menjadi jurucakap rakyat dalam kerajaan. Tambahan pula, musuh politik kita sedang membuak-buak memainkan sentimen kaum dan agama untuk melihat kita gagal. Kalau kita keluar hari ini, kita hanya memberi kemenangan percuma kepada mereka,” jelasnya.

Sementara itu, pembahas Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berpandangan, bukannya DAP yang perlu bertindak keluar, sebaliknya ‘musuh dalam selimut’ yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“DAP adalah parti yang kental dengan perjuangan. Kita sedar parti kita khasnya di Pulau Pinang pernah mencapai puncak kejayaan hingga tertubuhnya kerajaan negeri.

“Jangan sekali-kali lupa detik hitam pernah kita lalui sehinggakan tokoh veteran kalah. Sekiranya berputus asa ketika itu, tak mungkin hari ini kita ada pencapaian baik dan mengukuhkan kerajaan negeri. Kita akan lawan tetap lawan,” tegasnya.

Selain Kedah dan Pulau Pinang, barisan pembahas lain yang turut menyokong usul berkenaan ialah Azaha Abdul Rani (Kelantan), Muhammad Shakir Ameer Mohideen (Selangor), Ng Chai Hing (Terengganu), Soo Tien Ren (Sarawak) dan Jason Ng Thien Yong (Perak).

Turut menyatakan pendirian sama termasuk S Mugunthan (Negeri Sembilan), Leong Ngah Ngah (Pahang), Wong Bor Yang (Johor), Sangeet Deo (Kuala Lumpur), Jason Tze-Xi Nathan (Melaka), Chew Chin Lee (Perlis) serta Yap Wui Lip (Sabah).