Tuntutan Palsu: Bekas Pengarah Kolej Dicekup SPRM

Tuntutan Palsu: Bekas Pengarah Kolej Dicekup SPRM

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang lelaki berumur 40-an atas kesalahan membuat tuntutan palsu.

Menurut sumber, suspek merupakan seorang bekas pengarah sebuah kolej swasta di Kota Kinabalu.

Beliau telah ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi, hari ini ketika hadir untuk memberi keterangan.

Suspek dipercayai melakukan kesalahan dengan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM300,000 kepada satu agensi kerajaan di Kota Kinabalu sekitar tahun 2018 membabitkan tiga tuntutan yang berasingan.

Tuntutan tersebut melibatkan tiga program yang telah dilaksanakan di kolej tersebut yang mana beliau telah membuat tuntutan penuh kehadiran serta elaun pelajar sedangkan terdapat pelajar tidak pernah hadir serta tidak menghabiskan kursus tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, tiada permohonan reman terhadap suspek dan dilepaskan pada hari yang sama selepas selesai memberi keterangan.

Beliau berkata, jaminan ditetapkan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya lagi.