KUALA LUMPUR: Filem aksi Tamil lakonan Superstar Rajinikanth, JAILER 2, mencipta kelainan dalam strategi promosi filem di Malaysia menerusi pengenalan sebuah tren khas yang dihiasi sepenuhnya dengan visual filem berkenaan.
Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu merupakan antara kempen promosi berskala besar yang diperkenalkan syarikat berkenaan selaku pengedar rasmi JAILER 2 di seluruh Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pendekatan berkenaan turut mencipta satu kelainan dalam usaha mempromosikan filem Tamil di negara ini, selain meningkatkan keterujaan peminat menjelang tayangannya.
Selain tren khas, syarikat itu turut menganjurkan majlis pelancaran treler yang menghimpunkan peminat Rajinikanth serta majlis tayangan gala eksklusif pada 15 Oktober lalu, melibatkan wakil media, rakan industri, selebriti, pempengaruh media sosial dan tetamu jemputan.
Filem berkenaan turut ditayangkan dalam format IMAX, 4DX dan Dolby Atmos di pawagam terpilih bagi menawarkan pengalaman tontonan premium kepada penonton.
JAILER 2 yang diarahkan Nelson Dilipkumar dan diterbitkan Kalanithi Maran menerusi Sun Pictures merupakan sekuel kepada filem JAILER (2023).
Filem itu juga merupakan karya ke-172 lakonan Rajinikanth sepanjang kerjaya seninya yang menjangkau lebih lima dekad.
Ia sekali gus menjadi filem kelima lakonan bintang terkenal India itu yang diedarkan Malik Streams Corporation di Malaysia.
Filem berkenaan menampilkan gabungan aksi, komedi dan kemunculan khas pelakon terkenal, selain muzik hasil sentuhan komposer Anirudh Ravichander.
Sementara itu, Malik Streams Corporation yang ditubuhkan pada 2007 di bawah kepimpinan Dato’ Abdul Malik memaklumkan pihaknya komited memperkenalkan pendekatan promosi inovatif serta meningkatkan pengalaman tontonan di pawagam.
Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada wakil media, rakan industri dan peminat atas sokongan serta kerjasama dalam menjayakan sambutan JAILER 2 di seluruh Malaysia.






