Mahathir Terharu Doa Buat Hasmah Tidak Putus, Syukur Dipinjamkan Isteri Begitu Lama

Mahathir Terharu Doa Buat Hasmah Tidak Putus, Syukur Dipinjamkan Isteri Begitu Lama

0
SHARE

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa terharu dengan doa yang tidak putus-putus dipanjatkan orang ramai buat Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, sambil menzahirkan kesyukuran kerana diberi kesempatan hidup bersama isterinya begitu lama.

Beliau berkata, meskipun masih diselubungi kesedihan mendalam, ingatan dan doa orang ramai mengingatkannya untuk terus bersyukur kepada Allah SWT.

“Saya amat terharu kerana doa yang tidak putus-putus dipanjangkan kepada isteri saya Hasmah sehingga sekarang, sama ada di pusara mahupun dari mana-mana sahaja.

“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah s.w.t kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mahathir turut mengakui keadaan dirinya masih belum cukup kuat untuk kembali menjalani rutin harian seperti biasa.

“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau mewakili seluruh ahli keluarga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Allahyarham Siti Hasmah.

Beliau turut memohon maaf kepada mereka yang belum menerima balasan terhadap salam, lambaian dan ucapan takziah yang disampaikan sepanjang tempoh berkenaan.