Piala Dunia 2022: Uruguay Balik Awal Meskipun Catat Kemenangan

Piala Dunia 2022: Uruguay Balik Awal Meskipun Catat Kemenangan

0
SHARE
Reaksi Edinson Cavani (tengah) dan pemain Uruguay selepas tersingkir daripada Piala Dunia walaupun menewaskan Ghana pada aksi terakhir Kumpulan H...(Sumber Foto EPA)

AL WAKRAH – Uruguay mengikuti jejak pasukan Jerman dan Belgium untuk balik awal selepas menduduki tangga ketiga dalam peringkat kumpulan.

Walaupun mencatat kemenangan membenam Ghana 2-0 awal pagi tadi, namun kemenangan itu tidak cukup membawa mereka layak ke pusingan seterusnya susulan kemenangan Korea Selatan ke atas Portugal.

Ghana yang terkenal atas kegagalan menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan suku akhir Piala Dunia menentang Uruguay 12 tahun lalu mensia-siakan peluang untuk mendahului pada minit ke-21.

Kali ini, sepakan penalti Andre Ayew mudah diselamatkan Sergio Rochet.

Uruguay kemudian menghukum kesilapan Ghana dengan meledak gol pertama mereka pada kejohanan ini menerusi De Arrascaeta pada minit ke-26 sebelum dia menggandakan kelebihan Uruguay menerusi voli menarik enam minit berselang.

Kemenangan itu meletakkan Uruguay di tangga ketiga dengan empat mata, terikat bersama Korea Selatan yang mengatasi mereka dengan jumlah jaringan gol selepas menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk menang 2-1 ke atas Portugal.

Ghana di tangga tercorot dengan tiga mata.

– REUTERS