China Melarang Pembinaan Bangunan Pencakar Langit Sesuka Hati

China Melarang Pembinaan Bangunan Pencakar Langit Sesuka Hati

0
SHARE

BEIJING, CHINA – Bangunan tinggi ataupun dikenali ‘Bangunan Pencakar Langit’ merupaka salah satu cara sesebuah negara mengumumkan kedatangan atau menunjukkan kehebatan di pentas dunia.

Kemegahan pada bangunan pencakar langit yang dibina bukan sahaja mendorong kepada pembangunan ekonomi, malah penduduk sekitar akan berkembang pesat. Perkara inilah yang menyebabkan China dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini membina banyak bangunan pencakar langit untuk menunjukkan kehebatan mereka kepada seteru utama Amerika Syarikat.

Kesan pembinaan bangunan pencakar langit yang rancak dengan peraturan perancangan bandar yang longgar serta kawalan modal kewangan tanpa batasan menjadikan bandar-bandar di seluruh China berubah dari Pusat Wilayah Kecil menjadi Metropolis yang padat dengan manusia.

Fenomena ini akhirnya ditamatkan oleh kerajaan China melalui Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional negara itu apabila mengeluarkan notis perkenalkan langkah-langkah untuk ‘memperkukuhkan pengurusan ciri bandar dan seni bina’ ekoran kebimbangan China berhubung keselamatan yang dikaitkan dengan kualiti terhadap beberapa projek yang telah dibina sebelum ini.

Notis tersebut menyatakan bahawa bangunan baharu dengan ketinggian lebih daripada 500 meter (m) tidak dibenarkan atau dilarang untuk dibina.

Malah, pihak berkuasa tempatan juga perlu mengehadkan pembinaan menara yang tingginya lebih dari 250m.

Memetik laporan Bloomberg, Perancang ekonomi China dalam satu kenyataan memaklumkan masalah kualiti dan tahap keselamatan yang berbahaya dalam beberapa pembangunan berpunca dari pengawasan yang longgar.

Sebelum ini, bangunan SEG Plaza dengan ketinggian 72 tingkat di Shenzhen telah ditutup pada Mei lalu untuk pemeriksaan berikutan laporan mengenai bangunan itu bergoyang, sekali gus menunjukkan berlaku ketidakstabilan bangunan tertinggi di hab teknologi itu.

Menurut Suruhanjaya itu, pembinaan bangunan melebihi 100m perlu padan dengan skala bandar di mana mereka akan berada, bersama dengan kemampuan alat keselamatan kebakarannya.

Secara prinsip, pihak berkuasa mengenakan larangan pada bangunan baru setinggi 500m pada tahun lalu.

Menurut Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar, hanya ada 10 menara di dunia melebihi ketinggian itu dan lima daripadanya berada di China.

Lima bangunan itu ialah Menara Shanghai (632m), Pusat Kewangan Antarabangsa Ping An di Shenzhen (599m), Pusat Kewangan CTF di Guangzhou (530m), Pusat Kewangan CTF Tianjin (530m) dan Menara CITIC di Beijing (528m).