TONGOD: Pelajar asrama di tiga sekolah menengah di daerah ini terpaksa mengulang kaji pelajaran menggunakan cahaya lilin susulan gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan dua transformer utama sejak minggu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, keadaan itu menjejaskan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, SMK Penangah dan SMK Entilibon, khususnya mereka yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menambah jumlah set janakuasa bergerak (mobile genset) di ketiga-tiga sekolah berkenaan bagi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan sementara menunggu kerja pembaikan transformer diselesaikan.
“Saya menerima aduan daripada guru dan ibu bapa bahawa pelajar terpaksa mengulang kaji pelajaran menggunakan cahaya lilin di asrama dan rumah sejak minggu lalu akibat ketiadaan bekalan elektrik.
“Saya menggesa pihak Sabah Electricity menambah jumlah janakuasa bergerak di tiga sekolah terbabit bagi membolehkan pelajar belajar dengan lebih selesa, terutama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Masiung berkata, walaupun empat unit janakuasa bergerak dengan kapasiti keseluruhan 2,000 kilowatt (kW) telah ditempatkan di Tongod sebagai bekalan sementara, kapasiti itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.
Menurutnya, beliau dimaklumkan pihak Sabah Electricity di Telupid bahawa transformer utama yang membekalkan elektrik ke Tongod mengalami kerosakan sejak minggu lalu.
Beliau turut menghubungi pejabat syarikat utiliti itu bagi mendapatkan penjelasan dan memohon tindakan segera memandangkan gangguan berkenaan turut menjejaskan persediaan pelajar menghadapi peperiksaan.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Kuamut, Tokyo Hasim Omar berkata, gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku sejak bulan lalu turut menjejaskan urusan pentadbiran beberapa jabatan kerajaan di daerah berkenaan.
Beliau berpandangan kapasiti transformer sedia ada mungkin tidak lagi mampu menampung peningkatan permintaan elektrik susulan pertambahan bangunan kerajaan dan kediaman penduduk.
Sehubungan itu, Tokyo menggesa Sabah Electricity mempertimbangkan penggantian transformer baharu berkapasiti lebih besar bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik di Tongod untuk jangka panjang.






