KOTA KINABALU: Projek Pusat Seni Persembahan Kota Kinabalu (KKPAC) di tapak Wisma Budaya bakal dimulakan bagi memperkukuh infrastruktur kebudayaan serta merancakkan pembangunan industri kreatif di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pusat berkenaan akan dilengkapi auditorium persembahan, teater kotak hitam (black box theatre), studio tarian, dewan latihan serta pelbagai kemudahan kesenian.
Beliau berkata, pembangunan itu dijangka menarik lebih banyak penganjuran konsert dan persembahan, selain menyediakan ruang kepada bakat tempatan khususnya golongan muda untuk mengembangkan kreativiti.
“KKPAC akan menjadi hab penting bagi seni persembahan dan program kebudayaan, sekali gus membantu mempromosikan warisan budaya Sabah serta menyokong pertumbuhan industri kreatif,” katanya ketika menghadiri taklimat projek di sini, semalam.
Jafry berkata, projek berkenaan turut membuka peluang kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) menjana pendapatan menerusi penganjuran program, acara dan penyewaan kemudahan.
Sementara itu, beliau memaklumkan cadangan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) di tapak sama kini berada pada peringkat akhir perancangan dengan tempoh penyiapan diunjurkan selama 30 bulan.
Bangunan itu akan menempatkan KePKAS bersama tiga badan berkanunnya, iaitu Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah dan LKNS, bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta penyelarasan antara agensi.
Cadangan pembiayaan pembangunan berkenaan dijangka melibatkan Taman-Taman Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah.
“Pembangunan ini sebahagian daripada usaha memaksimumkan nilai aset kerajaan dan memastikan institusi kebudayaan dilengkapi kemudahan yang memenuhi keperluan masa hadapan.
“Keutamaan kami adalah memastikan manfaat jangka panjang kepada kementerian, agensi serta rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan LKNS, yang kini beroperasi di premis sewaan di Wisma Perindustrian, Likas, akan terus diberi perhatian dalam pelaksanaan kedua-dua projek itu.






