KOTA KINABALU: Persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) serta penilaian kemajuan pelaksanaan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 menjadi fokus utama Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 yang akan berlangsung di Dewan Tun Mustapha, Kudat, Ahad ini.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, konvensyen julung kali diadakan itu dijangka menghimpunkan hampir 3,000 peserta dan pemerhati yang mewakili 26 kawasan Parlimen di Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berkata, konvensyen berkenaan menjadi platform menghimpunkan kepimpinan pusat dan bahagian bagi membincangkan hala tuju politik gabungan itu, selain menilai pencapaian agenda pembangunan rakyat dan negeri berdasarkan Manifesto GRS.
“Konvensyen ini memberi tumpuan kepada dua pendekatan utama, iaitu memperkasa kesiapsiagaan parti khususnya menghadapi PRU16 serta menilai status kemajuan agenda pembangunan rakyat dan negeri menerusi pelaksanaan SMJ 2.0,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Armizan berkata, konvensyen itu turut menampilkan ucaptama Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, selain sesi perkongsian enam Timbalan Pengerusi GRS yang mewakili kepimpinan parti-parti komponen gabungan berkenaan.
Menurutnya, pemilihan Kudat sebagai lokasi penganjuran adalah selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi GRS supaya konvensyen diadakan secara bergilir di daerah lain dan tidak hanya tertumpu di Kota Kinabalu, tertakluk kepada kesesuaian logistik.
Tambahnya, kepimpinan akar umbi yang tidak dapat hadir secara fizikal turut berpeluang menyampaikan pandangan dan maklum balas secara dalam talian menerusi platform yang disediakan Sekretariat Ibu Pejabat GRS.






