BAKU: Larangan pemakaian tudung di sekolah di Azerbaijan mencetuskan bantahan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa selepas murid perempuan bertudung dilaporkan dihalang menghadiri kelas.
Memetik laporan JAMnews, tindakan kerajaan negara itu turut menyebabkan guru wanita diminta menanggalkan tudung bagi mematuhi peraturan baharu pakaian seragam sekolah.
Pada 12 Oktober lalu, Kementerian Dalam Negeri Azerbaijan mengumumkan penahanan 37 individu susulan insiden berkaitan penguatkuasaan peraturan berkenaan.
Pihak berkuasa mempertahankan langkah itu atas alasan menyeragamkan etika pemakaian di institusi pendidikan sekular, namun pengkritik mendakwa larangan tersebut menjejaskan hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.
Rakaman video yang tersebar menunjukkan pelajar di beberapa sekolah di Baku, termasuk Sekolah No. 322 dan Sekolah No. 69, berkumpul di luar kawasan sekolah serta enggan menghadiri kelas sebagai tanda solidariti terhadap rakan mereka yang bertudung.
Bantahan serupa turut dilaporkan berlaku di kampung Mollaoba, daerah Masally, manakala murid perempuan di Sekolah No. 9, daerah Jalilabad, didakwa tidak dibenarkan memasuki bangunan sekolah kerana memakai tudung.
Menurut laporan itu, pelajar menggunakan pelbagai bentuk bantahan termasuk memulaukan kelas bagi menuntut supaya murid perempuan yang bertudung tidak dinafikan hak untuk meneruskan persekolahan.






