Curi Tandan Sawit, Lelaki Tempatan Ditahan Bersama Pacuan Empat Roda di Kalabakan

Curi Tandan Sawit, Lelaki Tempatan Ditahan Bersama Pacuan Empat Roda di Kalabakan

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun ditahan polis bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit di sebuah ladang di Kalabakan, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan kira-kira jam 11 pagi, selain merampas 65 tandan buah kelapa sawit yang dipercayai hasil curi.

Beliau berkata, kejadian terbongkar selepas seorang petugas keselamatan ladang membuat laporan polis apabila mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda sarat dengan muatan buah sawit berhenti di kawasan ladang kira-kira jam 5.40 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki mendakwa telah diarahkan oleh individu lain untuk mengambil buah kelapa sawit berkenaan dengan tawaran upah sebanyak RM350 bagi setiap tan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Rosdi berkata, susulan laporan berkenaan, polis menahan suspek di hadapan Balai Polis Kalabakan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil atau memindahkan hasil ladang tanpa kebenaran pemilik serta segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak polis.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kegiatan jenayah,” tegasnya.