SANDAKAN: UMNO Sabah menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 23 kerusi bagi kawasan Pantai Timur Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya akan bekerja keras untuk menguasai semua kerusi yang disasarkan.
“Kawasan Pantai Timur dari Semporna ke Kinabatangan mempunyai 28 kerusi dan kami sasarkan untuk menang di 23 kerusi pada PRN akan datang,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah Zon 5 di Masjid Seri Aman, Pekan Muhibbah Batu 12, semalam.
Katanya, pihak mereka ketika ini aktif menyusun strategi tepat menerusi Program Gerak17 UMNO Sabah yang telah dilancarkan di seluruh negeri ini.
“Kita perlu menyusun strategi dengan sasaran yang tepat. Kalau kita sudah siap siaga dan semboyan PRN-17 dibunyikan, jentera-jentera UMNO sudah bersedia untuk menggalas tugas dan amanah yang diberi,” tegasnya.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk meletakkan calon bermusibah bagi mewakili parti itu pada pilihan raya negeri.
“Calon bermusibah yang ditolak rakyat ini akan mendatangkan kekalahan kepada parti. Oleh itu, kita akan pertimbangkan calon sebaik mungkin sama ada yang diterima, disukai dan boleh memenangi hati rakyat.
“Walau bagaimanapun, saya melihat agak sukar untuk meletak calon yang disokong oleh semua rakyat, tetapi sekurang-kurangnya calon itu tidak mempunyai musibah yang tinggi, maknanya tiada konflik yang terlalu besar maka calon itu yang kita pilih,” jelasnya.