KOTA KINABALU: Tiga bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS), iaitu Luyang, Likas dan Api-Api, menyatakan kesediaan bersama untuk parti itu bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pendirian itu dicapai menerusi pertemuan antara Ketua PBS Bahagian Luyang, Goon Tien Shang; Ketua PBS Bahagian Likas, Soo Chee Yong; dan Ketua PBS Bahagian Api-Api, Yee Tsai Yiew, yang juga Ahli Majlis Tertinggi parti pada Jumaat.
Goon berkata, PBS mempunyai sejarah panjang di Kota Kinabalu dan telah berkhidmat kepada masyarakat setempat sejak penubuhannya pada 1985.
“PBS mempunyai sejarah yang panjang di Kota Kinabalu dan terus berkhidmat kepada rakyatnya selama lebih empat dekad,” katanya dalam kenyataan bersama, semalam.
Sementara itu, Soo berkata, kesepakatan ketiga-tiga bahagian berkenaan mencerminkan solidariti dalam parti, sekali gus memperkukuh keyakinan mereka untuk menghadapi PRU16.
“Perpaduan ini memberikan kami keyakinan dan kekuatan untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu,” katanya.
Yee pula menegaskan bahawa ketiga-tiga bahagian akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dipilih untuk mewakili PBS di kerusi berkenaan.
“Matlamat bersama kami adalah untuk mengetengahkan calon yang mampu menang dan menyumbang kepada usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merampas semula kerusi Parlimen Kota Kinabalu,” katanya.
Ketiga-tiga ketua bahagian itu berpandangan bahawa PBS, sebagai parti politik tempatan berbilang kaum yang mempunyai akar umbi kukuh dan rekod politik yang panjang, sewajarnya diberikan peluang bertanding di kerusi berkenaan.
Menurut mereka, penyertaan PBS penting bagi menawarkan pilihan kepada pengundi yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat di Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, kesediaan itu tertakluk kepada keputusan kepimpinan PBS dan GRS.






