KOTA KINABALU: Penduduk di lapan daerah Pantai Timur Sabah yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik diminta bersabar sementara usaha pemulihan bekalan giat dilaksanakan oleh Sabah Electricity (SE).
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, pihaknya memantau rapi perkembangan kerja pemulihan susulan insiden menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Sungai Liwagu, Kampung Sagindai, Jalan Ranau-Telupid, pada Khamis.
Katanya, kejadian itu berpunca daripada hakisan tapak asas menara akibat hujan berterusan dan arus deras banjir sehingga menyebabkan struktur berkenaan tumbang.
“Pihak SE kini sedang bertungkus-lumus sepanjang 24 jam bagi membina menara penghantaran sementara menggunakan kaedah Emergency Restoration System (ERS) bagi membolehkan bekalan elektrik ke Pantai Timur Sabah dipulihkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Menurut Joachim, SE menyasarkan tempoh enam hari untuk memulihkan bekalan elektrik sepenuhnya, manakala usaha pemulihan secara berperingkat sedang giat dilaksanakan.
“Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, khususnya melibatkan kehidupan seharian, kegiatan ekonomi, perniagaan serta perkhidmatan awam susulan gangguan bekalan elektrik ini.
“Kita meminta semua penduduk yang terlibat di lapan daerah, iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kinabatangan, Beluran dan Telupid, agar terus bersabar sementara usaha pemulihan dilaksanakan,” katanya.
Joachim turut merakamkan penghargaan kepada petugas SE yang bekerja siang dan malam dalam keadaan mencabar bagi memastikan bekalan elektrik dipulihkan segera tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Beliau menegaskan kementeriannya akan terus memantau perkembangan usaha pemulihan bersama SE dengan mengutamakan kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.






