Muka Sauk Kg Kabang Dijangka Siap Julai, Bantu Atasi Krisis Air di...

Muka Sauk Kg Kabang Dijangka Siap Julai, Bantu Atasi Krisis Air di Papar – Armizan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Projek naik taraf muka sauk di Kampung Kabang, Papar yang dijangka siap Julai ini bakal menjadi antara penyelesaian utama dalam menangani krisis gangguan bekalan air di daerah berkenaan, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, projek berkenaan akan membolehkan sumber air mentah alternatif digunakan apabila muka sauk di Limbahau terjejas akibat peningkatan kadar klorida, sekali gus mengelakkan penutupan sementara loji rawatan air.

“Apabila muka sauk di Limbahau terkesan akibat kadar klorida yang tinggi, sumber air mentah dari Kg Kabang boleh digunakan supaya loji EWSS Limbahau dan LRA Jetama Limbahau terus beroperasi tanpa perlu dihentikan sementara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Menurutnya, komitmen menyiapkan projek itu pada Julai diperoleh hasil pertemuan bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), JETAMA dan kontraktor projek selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjelaskan, gangguan bekalan air di Papar berpunca daripada dua isu utama iaitu kekurangan kapasiti bekalan air terawat serta gangguan sumber air mentah di muka sauk Sungai Papar.

Katanya, permintaan bekalan air di Papar dan kawasan sekitarnya mencecah 93 juta liter sehari, namun kapasiti loji sedia ada hanya mampu merawat sekitar 63 juta liter sehari, menyebabkan defisit kira-kira 30 juta liter sehari.

Selain itu, beliau berkata, peningkatan kadar klorida akibat kemasukan air masin ketika musim kemarau dan fenomena air pasang turut menjejaskan operasi loji rawatan air, dengan bacaan kadangkala melebihi 2,000 miligram per liter berbanding paras selamat 120 mg/l.

Sehubungan itu, projek naik taraf muka sauk di Kg Kabang yang diluluskan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan meningkatkan kapasiti daripada 9 juta liter sehari kepada 30 juta liter sehari bagi menstabilkan bekalan air.

Armizan menegaskan, beliau bersama wakil rakyat kawasan terlibat akan terus memantau pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan masalah gangguan bekalan air yang membebankan penduduk Papar sejak sekian lama dapat diselesaikan tahun ini.