KOTA KINABALU: Kelab Tinju Profesional Kinabalu (KTPK) dan European Wellness Sports Science Regenerative Centre (EW-SSRC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan tinju profesional di Sabah menerusi pemerkasaan atlet, sains sukan, teknologi pemulihan dan perubatan regeneratif.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen kerajaan, badan sukan dan sektor swasta dalam meningkatkan standard pembangunan serta penjagaan atlet tinju profesional di negeri ini.
Ucapan beliau disampaikan wakilnya, Francis Chung, pada sidang media Kejohanan BAM Championship di European Wellness Premier Centre, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, gabungan sains sukan, teknologi pemulihan dan perubatan regeneratif mampu membantu atlet pulih daripada kecederaan dengan lebih berkesan, sekali gus mengekalkan prestasi terbaik sepanjang karier mereka.
Beliau berkata, pemilihan Sabah sebagai lokasi kerjasama berkenaan membuktikan keyakinan terhadap potensi negeri ini untuk muncul sebagai hab pembangunan sukan berprestasi tinggi, selain menarik lebih banyak pelaburan dan kerjasama dalam industri sukan.
“Kesihatan atlet sama pentingnya dengan kejayaan mereka di gelanggang. Kerjasama ini menetapkan penanda aras baharu dalam aspek penjagaan atlet sukan tempur profesional,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha KTPK, Zairul berkata, kerjasama berkenaan memberi peluang kepada petinju Sabah memanfaatkan kepakaran perubatan sukan dan teknologi pemulihan moden bagi meningkatkan mutu latihan serta prestasi pertandingan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Lembaga Sukan Negeri Sabah, European Wellness dan Persekutuan Tinju Profesional Malaysia (MPBF) atas sokongan menjayakan Kejohanan BAM Championship.
Katanya, kejohanan itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan petinju dari Sandakan, Tongod, Tambunan, Penampang dan Kota Kinabalu yang telah menjalani persiapan selama dua hingga tiga bulan.
Zairul berharap kerjasama strategik antara kerajaan, badan sukan dan sektor swasta akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai petinju profesional Sabah yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Kejohanan BAM Championship akan berlangsung pada hari ini (17 Julai) di Dewan Sri Putatan.
Perlawanan awal dijadualkan bermula dari 4 petang hingga 6 petang dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook, YouTube serta TV Sabah, manakala aksi utama bermula 7 malam dan boleh disaksikan melalui siaran bayar-per-tonton (PPV) di platform TV Sabah OTT.






