Task Force OSC Percepat Penghantaran Pulang Banduan Warga Asing

Task Force OSC Percepat Penghantaran Pulang Banduan Warga Asing

0
SHARE

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah memperkukuh penyelarasan pengurusan dan penghantaran pulang banduan warga asing (BWA) menerusi Mesyuarat Task Force One Stop Centre (OSC) yang menghimpunkan pelbagai agensi penguat kuasa dan jabatan berkaitan di Pejabat Imigresen Tawau, pada Khamis.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pendekatan One Stop Centre (OSC) diwujudkan bagi menyelaras proses penghantaran pulang banduan warga asing yang telah selesai menjalani hukuman, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan secara berpusat.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan dokumentasi, penyelarasan proses pemindahan banduan serta memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan dengan lebih lancar dan sistematik.

Melalui pendekatan One Stop Centre, kita dapat menyelaras proses dokumentasi, pemindahan dan penghantaran pulang banduan warga asing dengan lebih cekap.

“Kerjasama erat antara semua agensi amat penting bagi memastikan pengurusan ini berjalan lancar, sekali gus mengurangkan kesesakan di Depot Imigresen,” katanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu turut mencapai beberapa keputusan strategik yang dijangka mempercepat serta mempermudah proses penghantaran pulang banduan warga asing selepas tamat menjalani hukuman.

Selain itu, langkah berkenaan dijangka membantu mengurangkan kesesakan di Depot Imigresen melalui penyelarasan operasi yang lebih berkesan antara agensi berkaitan.

Turut hadir ialah wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan serta pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah dan Pejabat Imigresen Tawau.