MRSM Ranau Harumkan Sabah, Dinobat Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026

MRSM Ranau Harumkan Sabah, Dinobat Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau terus mengharumkan nama Sabah apabila dinobatkan sebagai Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026 sempena Hari Anugerah Pendidik MARA peringkat kebangsaan hasil kecemerlangan akademik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Kejayaan itu turut menyaksikan MRSM Ranau muncul sebagai MRSM terbaik di Borneo, selain tersenarai dalam kelompok empat terbaik daripada 57 MRSM di seluruh negara.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen tinggi seluruh warga MRSM Ranau, termasuk pihak pengurusan, tenaga pengajar, pelajar dan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan terus dipertahankan.

Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan anak-anak Sabah mampu bersaing di peringkat tertinggi apabila diberikan pendidikan berkualiti serta sokongan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Badan Pemuafakatan Malaysia Cawangan MRSM Ranau yang diketuai Yang Dipertuanya, Pamela Joseph, bersama Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri dan rombongan di pejabatnya pada Khamis.

Masidi berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada institusi pendidikan lain di Sabah untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepimpinan pelajar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MARA atas komitmen berterusan melahirkan modal insan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Sementara itu, Ismail merakamkan penghargaan kepada Masidi atas sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di Ranau yang disifatkan sebagai pemangkin kepada usaha meningkatkan prestasi akademik serta pembangunan modal insan.

Katanya, kejayaan MRSM Ranau adalah hasil kerjasama erat semua pihak termasuk kepimpinan, warga pendidik, ibu bapa dan pelajar yang bersama-sama berusaha mengekalkan budaya kecemerlangan di institusi berkenaan.