46 PATI Indonesia Diusir Pulang Melalui Tawau

46 PATI Indonesia Diusir Pulang Melalui Tawau

0
SHARE
Jim
PATI Indonesia yang dihantar pulang dalam siri pemindahan PATI ke negara asal ke-21 ( Sumber Foto: Ihsan JIM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah mengusir 46 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Sandakan melalui Terminal Feri Tawau, Sabah ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia semalam.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata mereka terdiri daripada 41 orang lelaki dan lima orang wanita yang berumur sekitar 18 tahun sehingga 74 tahun.

“PATI yang dipindahkan telah dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.

“PATI tersebut telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sitti berkata setakat tahun ini, seramai 2,651 orang tahanan PATI warganegara Indonesia direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut.

“Ianya menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,927 orang warganegara asing yang telah berjaya dipindahkan ke negara asal.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah dan individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit,” tegasnya.

Pihaknya menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.