SANDAKAN: ESSCOM menahan seorang lelaki tanpa dokumen serta merampas 2,380 paket minyak masak bersubsidi dan 150 liter petrol dalam operasi khas di kawasan sungai Jalan Datuk Tay.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata operasi OP TIRIS 4.0 yang dijalankan hasil risikan bersama Unit Tindakan Khas (UTK) MARTEK berjaya mengesan aktiviti mencurigakan di jeti Sungai Jipon sekitar jam 10.30 malam semalam.
“Apabila pasukan keselamatan melaksanakan serbuan, seorang lelaki berjaya ditahan manakala empat lagi suspek melarikan diri, termasuk tiga yang terjun ke sungai sebelum menghilangkan diri di kawasan bakau,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut menemukan 140 plastik hitam mengandungi minyak masak bersubsidi serta lima tong jerikin berisi petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM101,508 dan telah diserahkan kepada pihak polis serta KPDN untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1953/69 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.






