TLDM Musnahkan Bom Peninggalan Perang di Perairan Pulau Mamutik

TLDM Musnahkan Bom Peninggalan Perang di Perairan Pulau Mamutik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melaksanakan operasi pemusnahan objek disyaki bahan letupan tidak meletup (UXO) di perairan Pulau Mamutik, hasil kerjasama Cawangan Selam Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) dan Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur (DPBLT).

Objek berukuran kira-kira 25 sentimeter itu ditemui pada 9 Jun oleh pengendali aktiviti snorkeling sebelum dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pihak pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman.

Penilaian awal mendapati ia berpotensi sebagai bahan letupan lama yang masih berbahaya.

Susulan itu, pasukan Explosive Ordnance Disposal (EOD) TLDM melaksanakan penilaian teknikal sebelum menjalankan pemusnahan secara terkawal mengikut prosedur operasi standard.

Operasi diketuai Komander Ts. Ahmad Firdaus Zakaria dan disempurnakan tanpa sebarang insiden.

Kejayaan operasi mengesahkan kawasan perairan Pulau Mamutik kini selamat untuk aktiviti pelancongan, rekreasi marin dan pelayaran.

TLDM menasihatkan orang awam agar tidak menyentuh objek mencurigakan dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.