KUALA LUMPUR: Peruntukan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bagi tahun 2027 kekal yang tertinggi, dengan Sabah menerima RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini, manakala Sarawak diperuntukkan RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan sebanyak RM1.1 bilion bagi setiap negeri itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh pembangunan di kedua-dua wilayah berkenaan.
“Peruntukan Persekutuan untuk Sabah dan Sarawak pada 2027 kekal yang tertinggi. Sabah menerima RM18.7 bilion, ketimbang RM17.6 bilion pada tahun ini.
“Sementara, Sarawak menerima RM16.2 bilion, ketimbang RM15.1 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima 2027 di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut bersetuju menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, langkah itu membolehkan seramai 4,200 anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Dalam usaha memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di Sabah, beliau berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan Sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta.
Katanya, projek Talian Penghantaran Southern Link turut diteruskan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu.
Sementara itu, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan pada 2027 bagi meneruskan pelaksanaan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Antara projek utama ialah Sarawak-Sabah Link Road 1 dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B yang disasarkan siap menjelang penghujung 2027.
Bagi Lebuhraya Trans Borneo pula, Surat Setuju Terima (SST) untuk seksyen Miri telah dikeluarkan, manakala seksyen Limbang dan Lawas dijangka menerima SST menjelang penghujung tahun ini.
Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM350 juta bagi kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan yang dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan rasmi berhubung pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu susulan kesungguhan yang ditunjukkan Kerajaan Sarawak.
Rundingan itu bertujuan memuktamadkan kerangka insentif, pusat pemudah cara pelaburan sehenti serta keperluan infrastruktur strategik bagi menyokong pembangunan zon ekonomi berkenaan.






