IPOH, PERAK – Larangan kepada guru untuk menjadikan pelajar sebagai bahan kandungan media sosial seperti ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), tidak secara menyeluruh.
Memetik sumber Berita Harian, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata sebaliknya terdapat pengecualian untuk tujuan tertentu, bahkan digalakkan bagi maksud pendidikan.
Katanya, terdapat garis panduan yang dikeluarkan di peringkat KPM mengenai perkara itu yang harus dipatuhi.
“Saya sudah pertegaskan berulang kali bahawa kita ada garis panduan di peringkat kementerian dan kita minta semua guru mematuhi garis panduan berkenaan jika hendak buat kandungan.
“Kita galakkan kandungan dibuat dalam bentuk untuk memberikan pendidikan, khususnya dalam membantu subjek-subjek untuk murid, dan kesedaran berkaitan pendidikan. Jadi, garis panduan ini mesti dipatuhi oleh semua guru tanpa kecuali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Jaulah Ramadan KPM Tahun 2024 peringkat Perak di Sekolah Raja Perempuan Taayah, di sini, semalam.
Fadhlina ditanya langkah proaktif yang diambil KPM terhadap kenyataan Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali, hari ini yang dilaporkan menggesa guru tidak menyiarkan pelajar mereka sebagai kandungan dalam media sosial.
Rafiq dilapor berkata, perbuatan menyiarkan pelajar mereka sebagai kandungan dalam media sosial lebih-lebih lagi tanpa kebenaran ibu bapa mereka boleh dianggap sebagai pencerobohan privasi untuk pelajar dan keluarga mereka.
Pada 8 September tahun lalu, Fadhlina dilapor berkata guru yang menjadikan pelajar sebagai kandungan media sosial bakal berdepan tindakan oleh KPM, selain menegaskan kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan membabitkan murid dalam media sosial.
Mengenai program Jaulah Ramadan KPM, Fadhlina berkata, ia program tahunan KPM sebagai pengisian aktiviti warga KPM sepanjang Ramadan, selain bertindak sebagai medium untuk KPM melihat sebarang keperluan yang diperlukan pihak sekolah.





