‘Senang Dapat Dadah Dalam Penjara’ – Jabatan Penjara Nafi Kenyataan Bekas Banduan...

‘Senang Dapat Dadah Dalam Penjara’ – Jabatan Penjara Nafi Kenyataan Bekas Banduan Yasin

0
SHARE

KOTA BHARU: Jabatan Penjara Malaysia menafikan sekeras-kerasnya kenyataan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, yang mendakwa bekalan dadah mudah diperoleh ketika menjalani hukuman di dalam penjara.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, dakwaan bekas banduan berusia 51 tahun itu tidak benar kerana semua institusi penjara di negara ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan yang ketat.

“Saya tegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Dalam penjara, kita mempunyai konteks kepenjaraan dan peraturan bagi mengatasi perkara negatif.

“Kita mempunyai SOP dan kawalan ketat di semua penjara di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Program Bookathon di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan Yasin mendakwa bekalan dadah masih boleh menembusi penjara meskipun pemeriksaan keselamatan ketat dikenakan terhadap banduan baharu.

Dakwaan itu dibuat penyanyi berkenaan ketika menjadi tetamu sebuah audio siar atau podcast baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohamad Rosidek enggan mengulas dengan lebih lanjut mengenai kenyataan Yasin.

Beliau berkata, tahap kawalan serta SOP di institusi penjara sentiasa dikaji secara berperingkat bagi mengekang kegiatan dan perkara negatif.

“Saya akui ada perkara negatif berlaku, tetapi tidak seperti yang dinyatakan penyanyi tersebut.

“Di penjara, kita perlu fokus dalam menangani sebarang kes termasuk kejayaan prospek, selain sentiasa berusaha mengatasi perkara negatif dan mereka yang melakukan kesalahan diambil tindakan,” katanya.