Suspek Kes Bunuh di Sulaman Sentral Tumpas, Ditahan Polis di Jeti CIQ...

Suspek Kes Bunuh di Sulaman Sentral Tumpas, Ditahan Polis di Jeti CIQ Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes bunuh di Sulaman Sentral, Kota Kinabalu, berjaya ditahan polis di jeti CIQ Tawau, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11.30 pagi oleh sepasukan anggota Balai Polis Tawau bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Menurutnya, tangkapan dilakukan hasil tindakan susulan pihak polis berdasarkan maklumat yang diperoleh berkaitan siasatan kes berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap suspek menemukan sebuah telefon bimbit dan beg pinggang yang turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk meneliti setiap bahan bukti yang diperoleh bagi melengkapkan siasatan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan proses siasatan.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Dalam kejadian 4.30 pagi Sabtu lalu, mangsa, Mohd Soberi Bakri, 31, maut ditikam di dada di tingkat satu bangunan Sulaman Sentral.

Kejadian dipercayai berpunca perselisihan faham antara suspek dengan seorang penjual makanan di sebuah kafe berhampiran lokasi kejadian.