KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah berhasrat mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi pada pilihan raya lalu, selain sedang meneliti beberapa kerusi tambahan termasuk kawasan yang bukan dimiliki Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, tiga kerusi yang akan dipertahankan ialah Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
“Memang keputusan asas kita, kita akan pertahankan tiga kerusi yang kita menangi, iaitu Parlimen Sepanggar, Parlimen Kota Kinabalu dan juga Parlimen Sandakan.
“Pada masa yang sama juga kita sedang meneliti beberapa kerusi yang berpotensi, tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan-rakan komponen kita di kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sabah, di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai kerusi tambahan yang sedang dipertimbangkan, Mustapha berkata, “Ya, antaranya mungkin kerusi yang tidak dimiliki oleh GRS. Itu sajalah.”
Mengulas kerjasama politik menjelang PRU16, beliau berkata hubungan antara PH dan GRS kekal kukuh di peringkat negeri serta Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua gabungan belum mengadakan rundingan rasmi mengenai kerjasama menghadapi pilihan raya itu, sebaliknya hanya perbincangan tidak rasmi setakat ini.
Mengenai persiapan PRU16, Mustapha berkata setiap parti komponen PH Sabah sudah mula menyiapkan jentera masing-masing.
“Masing-masing parti sudah menyiapkan jentera. Sekarang ni kita cuba gabungkan jentera ini supaya lebih kuat, dan kita tumpukan dulu yang tiga kawasan ini.
“Lepas itu kita akan bergerak kepada beberapa Parlimen yang kita kenal pasti berpotensi,” katanya.
Ditanya mengenai jumlah kerusi tambahan yang disasarkan, Mustapha secara berseloroh menjawab, “Tiga confirm plus question mark.”






