Ibu Anak 7 Terjerumus Merempat Dalam Hutan – Kisah Cik Da

Ibu Anak 7 Terjerumus Merempat Dalam Hutan – Kisah Cik Da

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Sebuah video tular di TikTok yang dikongsikan oleh aktivis sosial, Abbe Hae, meruntun hati apabila memaparkan keadaan seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Cik Da, merempat bersendirian di dalam hutan selepas mengalami gangguan mental dan dipisahkan daripada anak-anaknya.

Memetik laporan Kisah Dunia, wanita berkenaan yang berasal dari Kelantan kini tinggal dalam sebuah pondok daif buatan sendiri di tengah hutan tanpa kemudahan asas.

Rakaman menyentuh hati itu menarik perhatian netizen dan mencetuskan pelbagai reaksi serta salah faham terhadap keluarganya.

Anak sulung Cik Da, Aty, tampil memberikan penjelasan menerusi hantaran Facebook bagi memperbetulkan persepsi masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa ibunya pernah bekerja sebagai jururawat dan merupakan seorang wanita yang berdikari sebelum mengalami trauma selepas bersalin pada 2018, yang menyebabkan gangguan mental berpanjangan.

“Sejak mengalami gangguan itu, hubungan ibu dengan kami berubah sepenuhnya. Bukan kami tak nak jaga, tapi dia sendiri memilih untuk tinggal bersendirian. Kami dah banyak kali pujuk, tapi dia tak mahu pulang,” jelas Aty.

Cik Da juga pernah menolak usaha pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menempatkannya di pusat perlindungan kerana tidak selesa tinggal bersama orang asing.

Walaupun tinggal bersendirian, beliau masih menerima bantuan kewangan dan perhatian dari anak-anak.

Abbe Hae dalam satu kenyataan berkata, tujuan video dikongsi adalah untuk membangkitkan kesedaran, bukan menyalahkan keluarga.

“Ramai orang susah, tapi ramai juga yang tidak tahu ke mana harus meminta tolong,” katanya.

Tambah beliau, keadaan Cik Da mencerminkan realiti kehidupan segelintir masyarakat yang tersisih akibat masalah kesihatan mental dan kekangan birokrasi bantuan sosial.

Kes ini kini mendapat perhatian lebih meluas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan Cik Da terus terjamin.