KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menolak tiga cubaan sogokan bernilai RM5 juta daripada pihak yang digelar sebagai kartel mineral, yang mahu mendapatkan lesen carigali di kawasan “seluas tiga kali ganda Kuala Lumpur”.
Pendedahan ini dibuat oleh Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, yang menegaskan bahawa Hajiji bukan sahaja menolak sogokan tersebut, malah membatalkan lebih 10 lesen yang didapati memihak kepada kartel.
“Datuk Seri Hajiji tidak berkompromi. Beliau batalkan semua lesen selepas menyedari wujud cubaan monopoli oleh kartel. Beliau tolak sogokan RM5 juta sebanyak tiga kali,” katanya dalam sidang media di IPD Sri Petaling pada Rabu.
Zulkarnain turut mengecam beberapa portal berita yang didakwa memutar belit fakta dan menyebarkan fitnah, termasuk dakwaan bahawa seorang individu bernama Farhash menerima lesen perlombongan daripada kerajaan negeri.
“Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta Sabah Mineral Management (SMM) telah menafikan sebarang lesen dikeluarkan kepada Farhash.
“Malah, SMM bercadang menyaman portal yang terbabit menyebarkan berita palsu ini,” tegasnya.
Beliau menyifatkan serangan terhadap Hajiji sebagai bermotif politik dan didalangi pihak yang kecewa kerana permohonan lesen mereka ditolak.
“Ini semua berpunca kerana Hajiji enggan tunduk kepada kartel. Kita juga hairan kenapa ada portal besar sanggup jadi alat menyebar fitnah seperti kononnya CEO SMM adalah wanita simpanan Ketua Menteri. Ini melampau,” katanya.
Zulkarnain berkata laporan polis dan kepada SKMM telah dibuat, dan tindakan saman sivil sedang disiapkan.
“Kami tidak menolak kebebasan media, tetapi biarlah beretika. Jangan rosakkan kredibiliti kewartawanan dengan fitnah,” katanya.
Menurutnya lagi, prestasi kerajaan negeri terbukti apabila rizab kewangan meningkat kepada RM8 bilion, dan pelaburan industri bernilai RM6 bilion diwujudkan hanya dalam tempoh empat tahun.
“Ini serangan politik yang terancang. Tapi rakyat harus tahu kebenaran. Hajiji tolak sogokan, dan beliau selamatkan hasil bumi Sabah,” katanya.






