KENINGAU: Dua buah struktur termasuk sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal dan sebuah stor musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Mottou, berhampiran Kolej Geomatika, pada petang Rabu.
Menurut maklumat yang diterima daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) MERS999 pada jam 2.42 petang, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikejarkan ke lokasi dan tiba hanya tiga minit kemudian pada jam 2.45 petang.
Komander Operasi, PBK II Mohd Ali Shahiranizam Abd Rahman berkata, kebakaran melibatkan keseluruhan struktur rumah dua tingkat berkeluasan 50×60 kaki serta sebuah stor berdekatan berkeluasan 60×60 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba segera melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran dan empat pancutan air yang diambil daripada jentera, tangki air serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi berjaya mengelakkan kebakaran merebak ke tiga struktur bersebelahan iaitu sebuah lot kedai dua tingkat, bangunan hardware seluas 110×110 kaki, dan rumah milik pemilik stor berkenaan.
Selain itu, sebuah bas kolej milik Kolej Geomatika yang berada di kawasan berdekatan turut berjaya diselamatkan daripada hangus sepenuhnya, dengan hanya mengalami kerosakan sebanyak 20 peratus.
Operasi diketuai bersama oleh Komander Operasi Kanan, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui melibatkan kekuatan seramai 28 anggota bomba dan penyelamat serta bantuan daripada agensi lain termasuk 3 anggota PDRM, 3 anggota SE, dan 6 anggota Jabatan Air.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.38 petang dan operasi ditamatkan pada jam 5.49 petang selepas kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi kejadian.
Tiada mangsa dilaporkan dalam insiden ini.






