Kerajaan GRS-BN Dalam Proses Mengindustrikan Sabah

Kerajaan GRS-BN Dalam Proses Mengindustrikan Sabah

0
SHARE
Dr. Joachim (dua dari kiri) menunjukkan isyarat tanda bagus bersama Bung (tengah), Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (kiri) dan Datuk Fredian Gan (tiga dari kiri) dalam Majlis Pengisytiharaan Rasmi dan Menandatangani Konsensi Pengoperasian Pelabuhan di antara Pelabuhan Sabah, POC Sabah Sdn Bhd dan POIC Logistic Sdn Bhd....

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) kini dalam proses mengindustrikan negeri ini melalui penambahan nilai kepada sumber seperti minyak kelapa sawit, kayu-kayan dan minyak serta gas.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini merupakan strategi yang diambil Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sabah sebuah negeri perindustrian.

“Seperti yang kita sedia maklum untuk negeri Sabah menjadi sebuah negeri yang berpendapatan tinggi dan maju…

“kita perlu beralih menjadi sebuah negeri perindustrian…

“Walaupun perindustrian bukan satu-satunya syarat utama tetapi ia adalah penting untuk Sabah mencapai ekonomi maju dan berpendapatan tinggi.

Dr. Joachim (lima dari kiri) dan Bung (empat dari kanan) serta tetamu kehormat yang hadir merakamkan gambar kenangan dalam majlis berkenaan….

“Oleh yang demikian, strategi Kerajaan sekarang adalah untuk mengindustrikan negeri ini melalui penambahan nilai kepada sumber seperti minyak kelapa sawit, kayu dan minyak serta gas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Rasmi dan Menandatangani Konsesi Pengoperasian Pelabuhan di antara Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, POIC Sabah Sdn. Bhd. dan POIC Logistic Sdn. Bhd. yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menyentuh tentang majlis ini, Dr. Joachim berkata, ia merupakan detik bersejarah bagi POIC Lahad Datu kerana dengan termeterainya pengisytiharan ini, ia membolehkan pelabuhannya beroperasi sepenuhnya dan sekaligus memberikan impak yang positif kepada POIC.

“POIC Lahad Datu mempunyai peranan penting dalam pembangunan di Pantai Timur Sabah dan ekonomi negeri ini. Justeru, langkah-langkah untuk dapat merealisasikan hal tersebut memerlukan sokongan daripada Kerajaan Negeri agar peluang-peluang pelaburan akan wujud di POIC,” jelasnya.

Menurut beliau, POIC akan terus membangunkan dan memperbaiki infrastruktur asas dan khusus seperti yang diperlukan oleh pengilang serta pelabur untuk membolehkan mereka melaksanakan aktiviti perniagaan dengan lebih lancar.

Kesan positif kelak adalah POIC sentiasa menjadi pilihan utama untuk melabur oleh pihak yang berminat samada dari dalam atau luar negeri, katanya.

“Dengan kewujudan terminal kontena, terminal pukal kering dan cecair serta kemudahan pendaratan tongkang, POIC Lahad Datu dapat memenuhi keperluan pengguna untuk menjalankan urusan perniagaan mereka. Seperti yang diketahui umum, pelabuhan memainkan peranan penting dalam rantaian logistic keseluruhan bagi membolehkan pembangunan perdagangan dan ekonomi negeri ini,” ujarnya.

Peranan POIC Lahad Datu dalam konteks pembangunan dan perindustrian negeri Sabah juga boleh dilihat melalui peranan yang boleh dimainkannya dalam meningkatkan pertumbuhan sektor ekonomi di Lahad Datu khususnya dan Sabah amnya, kata beliau lagi, sambil menambah ini termasuk sektor yang digalakkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Sabah (SIMP) iaitu aktiviti hiliran kelapa sawit, kayu balak dan koko; industri pemprosesan makanan; industri elektrik dan elektronik; industri petrokimia dan gas; industri produk mineral bukan logam; dan industri jentera dan acuan.

“POIC Lahad Datu bukan sahaja akan membawa masuk pelaburan langsung ketapak kluster tetapi juga merangsang aktiviti ekonomi yang lebih besar di daerah Lahad Datu yang lebih luas dan kawasan berhampirannya termasuk dalam sektor perkhidmatan, perindustrian, pertanian dan pembinaan.

“Saya yakin dengan keprihatinan dan kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah, POIC Lahad Datu mampu untuk menjalankan peranan yang telah ditetapkan dengan jayanya.

“Kerajaan yang mengutamakan dan memandang serius keperluan para pelabur merupakan salah satu kunci utama untuk menarik minat mereka untuk datang dan kekal beroperasi di negeri ini.

“Justeru, pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu ini jelas membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri membantu merealisasikan matlamat POIC bagi membolehkannya beroperasi sepenuhnya sebagai pelabuhan. Sudah tentu dengan rasminya pengisytiharan ini secara langsung menjadi daya tarikan pelabur-pelabur baharu ke POIC Lahad Datu,” katanya.