KOTA KINABALU, SABAH – Sabah hanya mencatat penyusutan 10 kes COVID-19 berbanding semalam yang menjadikan jumlah keseluruhan kes baharu pada hari ini sebanyak 589 KES.
Jurucakap perkembangan hal berkait COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia hanyalah sekadar penyusutan marjinal.
“Lebih banyak daerah yang menunjukkan peningkatan tinggi iaitu Kota Kinabalu +16 kes, Keningau +15 kes, Kota Marudu +12 kes, Kudat +12 kes, Kota Belud +11 kes dan Penampang +11 kes…
“Hanya dua (2) daerah yang menunjukkan penurunan ketara iaitu Ranau -51 kes dan Beaufort -38 kes,” jelasnya.
Hanya daerah Kalabakan mencatatkan sifar (0) kes hari ini iaitu penyusutan dua (2) kes yang direkod semalam.
Beliau berkata pada hari ini tidak ada kes lewat daftar keputusan ujian saringan COVID-19 melebihi lima (5) hari direkodkan.
“Terdapat lima (5) kes lewat daftar antara 4-5 hari. Sebanyak 224 kes merupakan kes lewat daftar antara 2 hingga 3 hari selepas keputusan saringan diketahui…
“Antaranya Kota Kinabalu dengan 56 kes lewat daftar, Kota Belud 33, Tenom 24, Penampang dan Lahad Datu masing-masing 22 kes.
“Sejumlah 360 kes lagi atau 61 peratus merupakan kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah kes yang berpunca daripada saringan bergejala terus melambung. Hari ini sahaja sebanyak 41 peratus (41.4%) dicatatkan daripada keseluruhan jumlah kes baharu negeri Sabah.
“Malah ada daerah di Sabah dimana kes-kes positif yang diperolehi melalui saringan bergejala melebihi 50 peratus daripada jumlah kes di daerah tersebut…
“Antaranya, Kota Marudu, 31 daripada 45, dan Kudat 18 daripada 31 kes. Beberapa daerah lain seperti Ranau (25/53), Pitas (11/23), Penampang (15/30) dan Tuaran (10/19) juga mencatatkan kes jangkitan secara sporadik yang agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata kes sporadik secara lazim dikaitkan dengan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau tahap pematuhan SOP yang rendah.
“Secara kebetulan hampir semua daerah yang terlibat sering mengalami perubahan turun-naik kes harian pada skala yang agak besar…
“Namun Sabah mengekalkan peratusan tinggi pesakit COVID-19 dalam kategori yang dianggap tidak serius,” katanya.
Lebih daripada 97 peratus keseluruhan kes hari ini hanya berada dalam Kategori 1 dan 2.
“Dua (2) kes masing-masing berada dalam Kategori 3 dan 4 dan satu (1) kes dalam Kategori 5. Sejumlah 12 kes lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan,” Masidi berkata.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (29 Okt) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Kinabalu – 66 (50)
Kota Belud – 59 (48)
Ranau – 53 (104)
Kota Marudu – 45 (33)
Tenom – 38 (29)
Papar – 33 (27)
Kudat – 31 (19)
Penampang – 30 (19)
Keningau – 26 (11)
Lahad Datu – 23 (17)
Pitas – 23 (25)
Tambunan – 22 (24)
Beaufort – 19 (57)
Tuaran – 19 (23)
Sipitang – 15 (16)
Beluran – 14 (11)
Kinabatangan – 14 (18)
Telupid – 13 (5)
Tawau – 13 (22)
Sandakan – 12 (14)
Kuala Penyu – 7 (2)
Putatan – 7 (4)
Nabawan – 3 (6)
Kunak – 2 (2)
Semporna – 1 (4)
Tongod – 1 (7)
Kalabakan – 0 (2)





