KUALA LUMPUR – Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diperkenalkan oleh Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2022 hari ini yang mana bakal memberi khabar gembira buat rakyat yang terkesan COVID-19 dengan bantuan tunai tertinggi iaitu sebanyak RM2,000.
Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BKM dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion, bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima yang akan membabitkan isi rumah mempunyai tiga anak dan lebih, selain purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500 sebulan.
“Bantuan kali ini adalah yang tertinggi berbanding sebelum ini di mana Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hanya memperuntukkan sebanyak RM1,800…
“Bantuan tunai langsung itu ditambah baik dengan memperkenalkan BKM untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka yang terkesan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini (29 Okt).
Katanya, tumpuan kerajaan adalah untuk meneruskan bantuan tunai langsung secara bersasar, memperkasa aspek pendidikan dan kesihatan awam dan terus menjana peluang pekerjaan.
“Tahun depan, inisiatif bantuan tunai langsung akan ditambah baik, kerajaan akan memperkenalkan BKM dengan beberapa pembaharuan supaya kumpulan yang benar-benar berkesan diberi tumpuan,” katanya.





